Assalamualaikum. Salam sejahtera dan salam perjuangan buat sahabatku sekelian. Al-Fatihah khusus buat Allahyarham Tuan Haji Baharum bin Hathir, pengasas dan Ketua Guru Utama PSSSHP. Moga rohnya sentiasa di bawah keampunan dan lembayung Rahmat Allah, dan diterima segala amalnya serta jasanya yang tidak terhingga dalam menunaikan tanggungjawab fardu kifayah iaitu mencurahkan baktinya melalui Seni Silat demi untuk kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Limpahan rasa syukur atas anugerah Allah kerana memberi ruang masa untuk sama-sama berdiskusi di sini. Tahniah buat saudara EjumpS atas inisiatif mewujudkan laman ini. Insya-Allah amal saudara akan berpanjangan dalam usaha dan perjuangan untuk memartabatkan Seni Silat Melayu.
Namun begitu, dalam kita ghairah berjuang untuk memartabatkan Seni Silat, jangan sesekali kita lupa dan alpa akan halatuju sebenar perjuangan kita. Ingin sekali ditegaskan, konsep Berilmu, Beriman dan Beramal yang menjadi dasar perjuangan Serimau Hitam perlulah diperhalusi agar ianya meresap dalam sanubari kita.
Ramai yang kurang arif dengan konsep ini. Biar saya jelaskan di sini, konsep ini definasi keseluruhannya adalah bermaksud Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak adalah merupakan gedung bagi ahlinya untuk menimba atau mempelajari ilmu jasmani dan rohani justeru melahirkan ahlinya yang beriman kepada Allah sw.t. serta ajaran-Nya dan sebagai hasilnya ahli tersebut dapat beramal atau melakukan suatu kerja atau sikap tanggungjawab terhadap dirinya, bangsanya, agamanya dan negaranya.
Jelasnya di sini, Islam merupakan teras dan dasar perjuangan kita. Oleh itu dalam usaha mengembang, memelihara dan melestarikan warisan ini, jangan sesekali kita lari dari hukum agama iaitu apabila berlaku pertembungan antara adat (yang menyalahi hukum) dan hukum agama, maka ikutilah syariat dan hukum agar perjuangan kita tidak sia-sia dan mempunyai nilai di sisi Allah.
Tegasnya, konsep ini perlu dijadikan asas pegangan kita dan menjadi tanggungjawab kita untuk memberi penjelasan terutamanya kepada generasi baru. Generasi hari ini tidak seperti generasi terdahulu yang mengukuhkan pegangan Iman dan Tauhid mereka sebelum mempelajari silat. Oleh itu, jarang kedengaran berlaku penyelewengan dan salah guna ilmu di kalangan mereka. Berlainan pula dengan generasi kini,kebanyakan mereka belajar silat hanya untuk menjadi kuat dan menunjuk-menunjuk seolah-oleh diri mereka telah hebat.
Perlulah kita fahami bahawa tiada siapa yang lebih HEBAT dan GAGAH melainkan Allah. Bagi mereka yang arif, belajar silat bermakna kita ingin memenuhi tuntutan Fardu Kifayah seperti dianjurkan oleh Islam iaitu bersiap-sedia menghadapi musuh dengan segala kekuatan. Janganlah sesekali kita gunakan pengetahuan dan ilmu kita bukan pada tempatnya. Moga Allah menjauhkan kita dari sifat ujub, riak, sombong dan takabbur. Dan semoga Allah menjadikan kita insan yang tawadduk, sentiasa tunduk dan patuh kepada-Nya. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Oleh itu, saya ingin sekali menyeru kepada diri saya dan rakan-rakan seperjuangan sekelian sekiranya ada antara kita yang telah tergelincir dari dasar perjuangan ini, kembalilah ke pangkal jalan kerana seungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penyayang. Ingatlah, bahawa kita sebagai pewaris silat ini sedikit sebanyak akan membawa imej persatuan di mana-mana sahaja destinasi yang kita kunjungi. Setiap amal baik perbuatan kita secara tidak langsung akan memanjangkan pahala kepada insan yang telah sekian lama mendidik kita (Allahyarham Tuan Haji Baharum Hathir).
Akhirul kalam, sambutlah doa saya ini dengan ucapan Amin, mudah-mudahan Allah menerima setiap amal perbuatan kita. "Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kekuatan Iman, Islam dan Ihsan yang sempurna di atas makna sekeliannya dan juzuk-juzuknya, serta jauhkanlah kami dari kekuatan kekufuran, murtad, zalim, fasiq, munafiq dan syirik di atas makna sekaliannya dan juzuk-juzuknya. Amin, Ya Rabbal 'Alamin".
Ikhlas dari sahabat seperjuanganmu......Nanang.